DEMOKRASI DAN KEBEBASAN- Tiada kebebasan mutlak.
Dalam sistem demokrasi yang berteraskan pemikiran sekular, empat kebebasan utama yang disucikan adalah kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan kebebasan berekonomi. Inilah yang dijunjung dan dipandang tinggi dan mereka menamakannya dengan Hak Asasi Manusia (HAM). Perbuatan pemimpin mengkritik konsep kebebasan yang dibawa oleh barat nampak seperti suatu yang ‘mulia’, namun hakikatnya aktiviti dakwah untuk menerapkan Islam juga turut disekat atas nama kebebasan.
Islam bukannya berdiri atas asas kebebasan, tetapi Islam datang dan mengatur perbuatan manusia agar sesuai dengan hukum hakam Allah s.w.t . Sebenarnya baratlah yang mempolopori idea kebebasan dan HAM ini dijajanya ke seluruh negeri kaum Muslimin melalui media- media, majalah, akhbar dan teknologi canggih kini internet yang membenarkan seluruh umat manusia untuk mendapatkan segala maklumat dan terpengaruh dengan pengaruh kebebasan yang dibawa oleh barat ini. Empat tunggak utama kebebasan dalam sistem demokrasi ini semuanya adalah bertentangan dengan hukum-hukum syarak:
(1) kebebasan berakhidah/beragama: kebebasan berakhidah dalam HAM ertinya ialah manusia berhak untuk menganut atau menyakini agama atau ideology apa sekali pun dan berhak mengingkari atau menukar agama sesuka hati. Sebahagian kaum Muslimin yang tertipu dengan fahaman yang dibawa oleh barat melalui teknologi kini khususnya menyangka bahawa kebebasan beragama yang dipropagandakan oleh barat adalah tidak menyalahi hukum agama Islam. Hujahan yang dikeluarkan oleh barat melalui firman Allah iaitu “tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)" [TMQ Al-Baqarah (2):256] dan ayat "Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan siapa sahaja yang ingin (kafir) biarlah dia kafir" [TMQ Al-Kahfi (18):29]. Nas ini telah disalah ertikan dan menyebabkan ramai umat Islam kini menjadi murtad. Sedangkan nas ini menjelaskan bahawa kaum muslimin tidak boleh memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia akan diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati.
(2) Kebebasan berpendapat/ bersuara: Kebebasan berpendapat menurut HAM bererti bahawa setiap orang memiliki hak untuk menyatakan pendapat apa sahaja dalam segala perkara tanpa terikat dengan batasan apa pun. Kebebasan berpendapat ini sangat menarik perhatian sebahagian kaum Muslimin, sebab mereka selama ini hidup tertindas di bawah penguasa-penguasa yang zalim di mana mereka akan ditangkap jika bersuara menyalahi kepentingan/kehendak penguasa sepertimana sebelum merdeka yang mana setiap masyarakat di tanah melayu tidak dibenarkan sama sekali memiliki radio untuk mendapatkan maklumat atau berita tentang parti dan pejuang bangsa pada ketika itu. Justeru, mereka melihat idea ini sesuai dengan Islam. Walhal kebebasan berpendapat yang dibawa oleh HAM ini merangkumi pendapat/pemikiran apa sahaja, walaupun pemikiran tersebut bertentangan dengan aqidah Islam seperti pemikiran tentang nasionalisme, patriotisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Pendapat ini dibawa melalui teknologi seperti internet secara berleluasa tanpa kesedaran kita sebagai pengguna teknologi ini melalui blog yang diwujudkan dalam internet. Padahal, Islam telah memerintahkan umatnya untuk menghapuskan segala bentuk pemikiran kufur ini.
(3) Kebebasan Kepemilikan: Adapun kebebasan hak milik menurut idea HAM ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu sesuka hatinya dan menggunakan segala sesuatu miliknya itu sesuka hati, selama hal itu tidak melanggar hak-hak orang lain. Maksudnya, selama tidak melanggar hak-hak yang diakui oleh sistem dan undang-undang yang mereka gubal. Hal ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu baik yang dihalalkan oleh Allah mahupun yang diharamkanNya, kerana yang menjadi ukuran adalah undang-undang buatan manusia, bukannya undang-undang Allah. Contohnya manusia berhak memiliki harta dari wang riba atau perjudian (kerana undang-undang manusia membenarkan) dan manusia juga berhak memiliki barang-barang yang termasuk dalam pemilikan umum (public property) seperti minyak, gas, pantai dan sungai-sungai, malah mana-mana individu tidak dihalang dari memiliki harta/saham yang jelas-jelas diharamkan Allah seperti syarikat judi, bank riba, syarikat insurans, rumah pelacuran dan sebagainya. Kebebasan ini telah menimbulkan pula akumulasi kekayaan yang melimpah ruah di tangan segelintir orang yang disebut sebagai para kapitalis. Ada pun Islam menjelaskan bahawa seorang Muslim itu hanya berhak memiliki harta yang dihalalkan oleh Allah sahaja dan haram baginya memiliki apa sahaja yang diharamkan oleh syara'. Islam telah membahagi dan membezakan hak pemilikan kepada tiga kategori iaitu pemilikan individu (milkiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-'ammah) dan pemilikan negara (milkiyyah ad-daulah) yang setiap satunya diperincikan oleh nas-nas yang jelas. Kontradiksi kebebasan kepemilikan di bawah HAM dengan pemilikan dalam Islam adalah teramat jelas, sehingga kaum Muslimin diharamkan mengamalkan idea kebebasan di dalam memiliki sesuatu kecuali wajib berpegang kepada halal dan haram.
(4) Kebebasan Bertingkah laku: Menurut HAM, kebebasan bertingkah laku bererti setiap orang berhak menjalani kehidupan peribadi semahunya, asalkan tidak melanggar kehidupan peribadi orang lain. Berdasarkan hal ini, seorang lelaki dan wanita bebas untuk berdua-duaan, bercium atau berzina sekalipun selama mana kedua-duanya redha. Pengaruh kebebasan yang dibawa ini adalah melalui TV, radio, internet dan pelbagai alat teknologi kini. Tontonan wayang gambar, lagu- lagu yang disebarkan ke dalam negara Islam turut telah mempengaruhi kebebasan yang diamalkan kini. Tidak ada apa yang dinamakan halal atau haram di dalam HAM, yang penting, semua orang boleh melakukan setiap perbuatan di dalam ruang lingkup undang-undang yang dibuat oleh manusia. Justeru, boleh sahaja jika perempuan tidak mahu bertudung atau lelaki mahu berseluar pendek di khalayak ramai kerana tidak ada undang-undang yang menghalangnya. Praktik kebebasan bertingkah laku di bawah HAM ini telah menimbulkan kerosakan yang amat mengerikan yang sudah tidak dapat dibayangkan lagi. Konsep kebebasan ini langsung tidak ada di dalam Islam dan umat Islam langsung tidak memerlukan HAM untuk mengatur tingkah laku mereka. Setiap individu Muslim wajib 'terikat' dengan hukum Allah. Tingkah laku manusia justeru wajib diatur dengan hukum syara' dan Islam telah lama mengatur hal ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah.
persoalan yang ditimbulkan ialah mengapa kebebasan ini harus ada dalam sebuah negara yang terdapatnya masyarakat Islam dan mengapa budaya barat mudah mengalir dalam diri masyarakat Malaysia kini?
Disediakan oleh: Nurul Asyikin Abu Seman@naas
A Vision of Students Today
16 years ago
No comments:
Post a Comment